Banteras Kes Buli


Setiap tahun pelbagai kes disiplin yang berlaku di persekitaran sekolah dilaporkan dalam media eletronik, media cetak dan juga media sosial. Antara kes disiplin yang dilaporkan, termasuklah kes yang melibatkan aspek kelakuan agresif terhadap individu lain seperti kes buli. 

Kejadian buli semakin membarah bukan sahaja memberikan kesan kesihatan fizikal dan juga psikologi terhadap mereka yang dibuli, malah dalam sesetengah kes turut melibatkan kematian. Jelaslah, peraturan sekolah seolah-olah tidak mampu menanam rasa takut golongan pembuli meskipun banyak amaran dan tindakan disiplin dikenakan kepada pembuli sebelum ini. Ekoran daripada itu insiden seperti ini mahupun kejadian lain tidak dilaporkan tetap menjadi bahan tular di laman sosial. Sekali gus memberikan petunjuk jelas bahawa fenomena buli yang berhubung kait dengan tingkah laku gengsterisme masih berleluasa di sekolah dan perlu dibendung dengan lebih serius. Secara ringkasnya peningkatan insiden buli secara tidak langsung menyuburkan aktiviti gengsterisme. Oleh itu, membiarkan kedua-duanya berleluasa dalam persekitaran sekolah yang merupakan medan untuk mendidik dan membentuk generasi anak bangsa, bukanlah sesuatu yang sihat dan sewajarnya dikekang habis-habisan. 


Antara kes buli paling tragis pernah dilaporkan oleh media massa termasuklah kejadian di Kota Kinabalu, Sabah yang menyaksikan seorang murid lelaki ditumbuk bertubi-tubi, ditendang, ditampar, dipijak dan dihentak dengan kerusi plastik.  Bermula pada Mac 2016, murid tahun dua, Muhammad Ali Shukran Alias dari Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, Klang mendakwa dipaksa rakan untuk menggunting lidah sendiri. Walaupun, akhirnya siasatan polis mendapati kesahihan kejadian ini dipertikaikan, namun sedikit sebanyak, peristiwa ini telah membangkitkan semula perbincangan tentang fenomena buli dalam persekitaran sekolah. Kes kedua pada April 2016, menyaksikan pelajar sekolah di Pengkalan Chepa, Kelantan, Aiman Hazim Zulkeflee, retak di bahagian leher akibat dibelasah seorang pelajar lain yang dipercayai membulinya. Pada bulan Ogos pula, kes buli melibatkan seorang pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak mengadu dibuli oleh lima pelajar senior di asrama maktab berkenaan. Manakala, pelajar SMK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah, Muhammad Anas Amir, mengalami pendarahan dalam kepala selepas dipercayai dipukul dan dihentak kepala ke dinding oleh beberapa pelajar tingkatan tiga. Berdasarkan senario tersebut, jelaslah menunjukkan bahawa tingkah laku buli dan gengsterisme berupa perlakuan ganas dan agresif yang melibatkan aspek psikologi, fizikal dan lisan yang dilakukan secara individu atau berkumpulan terhadap pihak yang lemah. 

Comments

Popular Posts