Aqademi : Mencipta Aura Positif

Percaya atau tidak sebenarnya dalam diri setiap manusia ada satu gelombang atau tarikan yang selalu dipanggil aura. Pernah dengar kan? Bila orang kata seseorang itu ada aura. Apa itu aura sebenarnya?

Kalau dirujuk dari aspek istilah dan sejarah, asal usul perkataan aura adalah daripada perkataan latin, iaitu membawa maksud angin atau nafas. Kamus Dewan Edisi Keempat pula mentafsirkan perkataan 'aura' ini sebagai suasana atau perasaan halus yang menyelubungi seseorang atau sesuatu. Sementara itu, kamus Cambridge Advanced Learner Edisi Ketiga mendefinisikan aura sebagai suatu perasaan atau karakter yang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu tempat. Banyak pendapat lain mengatakan 'aura' sebagai suatu medan tenaga yang hidup dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Sesetengah pendapat pula mentafsirkan 'aura' sebagai satu gelombang eletromagnetik jaluran tenaga atau wap air dalam warna-warni pelangi yang diserap. Lebih menarik, terdapat juga pakar yang menjelaskan bahawa 'aura' adalah pancaran tenaga di luar tubuh yang terhasil daripada proses metabolisme yang terjadi dalam tubuh sehingga membentuk pancaran gelombang tenaga yang terdiri daripda ion positif dan ion negatif.

Memetik kata seorang pakar motivasi, Prof.Dr.Muhaya Mohamad, seseorang yang beraura positif senang didekati kerana aura positifnya boleh dirasai dan dilihat oleh manusia lain melalui pancaran daripada wajah. Hakikatnya, setiap manusia mempunyai magnet dirinya yang tersendiri, yang mampu menjadi daya tarikan atau pesona diri kepada orang lain. Apa-apa imej dan reaksi yang terpancar pada wajah seseorang individu itu yang dipamerkan kepada orang lain itulah yang menjadi petanda jenis aura yang ada dalam dirinya. Sebab itu, aura selalu diakui sebagai satu getaran gelombang jiwa, suatu dunia dalaman yang menentukan dunia luarannya.

Kalau nak dikaitkan dengan isi penting yang selalu diperkatakan oleh penceramah utama Program Kepimpinan Remaja Malaysia (Space), En. L.Ar. Khairul Amin bin Mirsa Hussain, perkara ini yang sering dikaitkan olehnya sebagai perubahan di luar yang akan membawa perubahan di dalam diri seseorang. Contohnya, dengan aura positif yang kita berikan kepada orang-orang di sekitar kita, sedikit sebanyak perkara ini akan membantu orang di sekeliling untuk menerima dan mentransfomasikan tenaga itu kepada suatu nilai yang positif dalam membangunkan dirinya.

Hal yang sama juga disebut oleh ditegaskan oleh Dr.Ridzuan Noor, aura positif lahir daripada perasaan-perasaan yang positif seperti menghargai orang lain, memberi pujian, membantu orang yang  kesusahan, memberi tunjuk ajar dan menyelesaikan masalah dengan sabar. Semua 'aura' asalnya positif, cuma boleh berubah menjadi negatif apabila emosi marah, geram, merajuk, putus asa, gelisah dan hasad dengki yang menguasai diri seseorang. Selain itu, aura negatif juga boleh terjadi akibat ketidaksempurnaan fizikal dan perasaan tidak mahu menerima kelemahan diri sendiri. Berdasarkan teori menukarkan aura positif kepada aura negatif ini, peranan orang sekeliling seseorang itu amat besar dalam menentukan aura positif ini boleh diwujudkan semula dalam diri seseorang. 



Comments

Popular Posts