AQADEMI : Sekolah Wawasan

Hari ini Sekolah Wawasan dilihat sebagai sebuah lagi usaha negara dalam menyemai semangat perpaduan yang erat dalam kalangan masyarakat. Setelah beberapa tahun pelaksanaan sekolah wawasan, ternyata telah memberi kesan positif untuk membantu mewujudkan sikap saling menghormati antara pelajar yang berbilang kaum di sekolah. Objektif asasnya adalah untuk menanam sifat perpaduan ke dalam diri pelajar sekolah pada peringkat sekolah rendah lagi. Program sekolah wawasan ini amat berkesan dalam usaha melahirkan masyarakat majmuk yang lebih utuh pada masa hadapan. Melalui program yang lebih berkesan seperti hari sukan, sambutan perayaan bersama dan juga berkongsi insfrastruktur yang sama, kita dapat mewujudkan hubungan komunikasi yang baik bukan sahaja dalam dalam kalangan pelajar malah dalam kalangan guru juga. Secara umumnya perkara ini membuktikan kepada kita bahawa sekolah boleh menjadi agen penyatuan yang kukuh untuk memupuk perpaduan dan integrasi kaum di negara ini.

Melalui penghayatan maksud ini, pihak sekolah boleh menerapkan aspirasi ini dalam skop dan perkara-perkara yang lebih kecil di sekolah. Jika kita menyoroti sejarah penubuhan Sekolah Wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam satu kawasan , kita yakin bahawa cara ini mampu membentuk sikap pelajar yang lebih bertoleransi dan bertolak ansur.


Comments

Popular Posts